My Blog...My Daily Life...

Monday, April 13, 2009

Atas Nama Cinta

Manusia mengandaikan cinta itu hebat dan kadang-kala cinta itu bebanan. Cinta yang hebat kerana manusia sentiasa dicintai dan mencintai, tidak pernah dilukai dan melukai. Manusia mengatakan cinta itu dusta kerana dilukai dan melukai. Manusia merasa peritnya cinta itu kerana dikhianati. Manusia bercinta sehingga terlupa maruah diri. Manusia benar-benar terlupa. Cinta itu sebenarnya sangat istimewa. Kerana kasih sayang ALLAH pada hamba-Nya, lahirlah cinta didalam hati kita. Itulah cinta yang paling sempurna. Kenapa manusia tidak pernah menghargai apa yang mereka ada dalam hidup ini. Manusia mahukan sesuatu yang sempurna sedangkan diri mereka sendiri pun tidaklah sehebat mana. Kenapa manusia juga kadang-kadang tidak mahu sesuatu yang baik hadir dalam diri mereka. Bila mana yang baik itu hadir, manusia menolak mentah-mentah dengan alasan "terlalu baik untuk diri mereka". Saya masih lagi tertanya-tanya, kalau diri kita sendiri pun tidak cukup baik lagi, mengapa perlu kita tolak sesuatu yang baik itu hadir dalam diri kita. Bukankah yang baik itu merupakan satu bonus untuk hidup kita. Mengubah untuk menjadi lebih baik adalah tidak salah. Perlukah kita mencari sesuatu yang sama dengan kita atau yang lebih teruk dari kita. Sedangkan kita tahu perkara itu tidak akan mengubah hidup kita menjadi lebih baik. Manusia perlu belajar menghargai apa yang mereka ada. Tetapi kadang-kala manusia yang menghargai apa yang mereka ada dan mensyukuri nikmat Tuhan itu lebih banyak dugaan dan ujian. Satu per satu perlu dihadapi. Bukan sekadar menghadapi dugaan itu dengan memaki hamun dan menyumpah seranah sambil meratapi nasib tetapi berdoalah dan terus berdoa atas nama yang Maha Penyayang. Insyallah, semua yang baik itu datang dari-Nya. Atas nama cinta kita bersujud, atas nama cinta kita memohon dan atas nama cinta kita menyerahkan seluruh jiwa dan raga untuk kita bertawakkal kepada-Nya. DIA tidak akan pernah menghampakan manusia yang sentiasa memohon pertolongan dari-Nya. Adakah pernah DIA menyakiti kita. Tidak pernah walaupun sebesar zarah. Saya menyedari betapa besarnya nikmat yang ALLAH berikan kepada saya. Pengalaman sememangnya mengajar manusia untuk menjadi lebih rasional. TUHAN menguji ketabahan kita dan adakah kita sentiasa memohon pertolongan dari-Nya atau kita masih lagi berlaku sombong dengan yang Maha Agung itu. Saya menginsafi diri kerana saya pernah terlupa bahawa cinta, kasih sayang dan rindu itu sebenarnya adalah sifat Ar-Rahim. Saya sedar bahawa kita mencintai seseorang itu adalah satu anugerah dari ALLAH. Kerana sifat Ar-Rahim itulah, adanya cinta dihati manusia. Hidup manusia ini walau ditolak kemana sekalipun ianya tetap berada pada satu paksi yang sama dan kita tidak boleh dan tidak akan pernah lari dari paksi tersebut kerana DIA yang menciptakan kita dengan penuh kasih sayang. Walau sebesar mana sekalipun dosa yang kita lakukan, dia tetap Maha Pengampun. Tapi sayangnya, manusia lupa tentang DIA yang Maha Agung itu. Segala puji adalah milik DIA. Atas nama cinta, saya mensyukuri dan menghargai apa yang saya miliki terutama sekali hati dan perasaan.

1 comment: