My Blog...My Daily Life...

Thursday, June 25, 2009

Kehidupan adalah kehidupan


Apakah ertinya sebuah kehidupan andainya hidup kita berlangsung dengan sempurna? Hidup tidak dinamakan hidup andainya tidak ada dugaan dan cabaran. Itulah ertinya hidup. Seperti yang pernah saya katakan, sejak akhir-akhir ini begitu banyak dugaan dan ujian untuk saya. Walauapapun saya kena terima dan redha dengan qada' dan qadar ALLAH. Inilah yang dinamakan hidup. Tetapi adakala dan ketikanya saya seperti terasa amat rimas dan sesak dengan dugaan ini. Kadang-kadang saya berfikir kenapa dugaan ini untuk saya. Tiadakah dugaan yang lebih kecil untuk saya. Saya paling benci perasaan sedih. Kalau boleh dalam hidup ini saya tidak mahu untuk menitikkan air mata. Bila ditahan-tahan semakin laju air mata ini menitis ke bumi. Saya memerlukan seseorang saat dan ketika ini untuk saya kongsikan segala kesedihan dihati ini. Kadang-kadang saya terasa ingin berlari jauh dari semua orang. Menjerit dan terus menjerit untuk melegakan perasaan. Tapi saya tidak boleh lakukan semua itu. Saya perlu jaga banyak hati agar mereka semua tidak terluka dengan tindakan saya. Saya tahu saya kuat untuk menghadapi semua dugaan dan cabaran dalam hidup ini. Inilah hidup. Hidup yang tidak boleh lari dari masalah-masalah. Tiada siapa yang tahu apa yang terbuku di hati saya tika dan saat ini. Kalaulah saya ini hidup sebatang kara, sudah tentu saya akan berlari jauh. Kalaulah saya masih mempunyai pilihan lain dalam hidup ini dan kalaulah saya diberi peluang untuk mengundurkan waktu, banyak perkara yang akan saya perbetulkan terutama sekali men'delete'kan beberapa orang yang pernah hadir dalam hidup ini tidak kiralah sahabat, cinta mahupun keluarga. Semua itu "kalaulah". Tapi ALLAH punyai rancangan yang terperinci untuk saya. Saya yakin. Rancangan yang baik untuk saya. Saya perlu sabar kerana ganjaran yang akan saya terima satu hari nanti pasti berbaloi untuk segala pengorbanan saya sekarang. Jika saya tidak peroleh ganjaran itu satu hari nanti saya masih tetap yakin dengan perancangan ALLAH. Ini hanyalah dunia. Dunia yang tidak akan kekal. Mungkin saya akan peroleh ganjaran yang sangat istimewa "disana" nanti. Hidup hanya sementara, hidup harus dinikmati walau suka atau duka. Hidup ini sebenarnya tidaklah rumit tetapi manusia sendiri yang menjadikan hidup mereka rumit. Hidup ini sangat simple tapi sempurna kalau manusia pandai untuk mengemudi hidup ini. Saya bersyukur pada Yang Esa kerana diberikan kehidupan ini walau suka dan duka datang silih berganti. Sesungguhnya yang buruk itu dari manusia sendiri dan segala yang baik dan kebaikan itu milik ALLAH.

Wednesday, June 24, 2009

Setahun Berlalu...

1 Rejab, bermakna setahun telah berlalu. Saya sangat merindui dia. Hidup ini tanpa dia terasa kekosongannya. Selama 24 tahun hidup ini tidak pernah terlerai dari kasih sayang dia. Segala suka dan duka dikongsi bersama. Pemergian dia merupakan satu kehilangan besar dalam hidup saya. Dia adalah lelaki yang terhebat. Garang tapi dia tidak pernah walau sekali pun sepanjang hayatnya dia memarahi saya. Dia yang mengajar saya mengenal Tuhan. Dia diantara orang-orang yang bertanggungjawab mencorakkan kehidupan saya dengan corak yang cantik. Saya dimanjai dengan kasih sayang dia. Saya juga mewarisi sikap ketegasan dan keberaniaan dia. Saya bersyukur kerana saya dilahirkan didalam keturunan yang baik. Salasilah keturunan yang sangat istimewa. Percantuman dua keturunan yang sangat unik. Maka lahirlah saya yang keras hati ini. Saya sentiasa merindui diri dia. Kehidupan saya penuh dengan kenangan bersama dia. Tidak pernah dia mengatakan tidak pada setiap permintaan saya. Teringat saya pada langkah-langkah terakhir saya untuk meninggalkan dia dihari pertama pemergian dia. Terasa berat kaki ini untuk bergerak melangkah pulang. Air mata tidak tertahan lagi untuk mengalir keluar. Hati ini perlu tabah. Masa berlalu dengan pantas. Genaplah setahun pemergian dia pada hari ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. AL-FATIHAH untuk mu tok bak..........

Tuesday, June 23, 2009

Kerinduan

Kenapa rindu itu ada dihati kita?Kerinduan itu milik ALLAH. Dia yang mengurniakan perasaan rindu dihati kita. Rindu yang selayaknya adalah rindu pada-Nya. Kerinduan itu sering bertandang dihati saya. Saya tidak tahu kepada siapa saya merindu. Tetapi kerinduan itu ada dihati ini. Saya terasa rindu pada "seseorang" tetapi saya tidak tahu siapa. Bila perasaan rindu itu hadir, hati saya terasa sangat bahagia seolah-olah "dia" juga merindui saya. Wujudkah orang yang saya rindu itu? Adakah kerinduan saya itu milik "dia"? Siapakah "dia"? Adakah perasaan ini sebenar-benarnya wujud?Saya akan menunggu "dia" yang saya rindu. Kerinduan saya adalah milik "dia".......

Friday, June 19, 2009

Kenikmatan Rezeki


Adakah rezeki itu sememangnya diciptakan untuk kita?Atau kita perlu berusaha untuk mendapatkan rezeki dan memohon kepada yang Pemberi Rezeri agar dilimpahi dengan segala nikmat rezeki di dunia ini?Sejak akhir-akhir ini banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya. Suka dan duka silih berganti. Mengajar saya erti sebuah kehidupan. Kehidupan yang sebenarnya penuh dengan kejutan. Andainya kita tidak bersedia, sudah pasti kita terkapai-kapai seperti lemas di lautan dalam. Ya, sememangnya hidup ini penuh dengan kejutan. Dalam meniti usia dewasa kini banyak kejutan yang berlaku dalam hidup saya yang tidak pernah saya jangkakan apatah lagi merancang untuk kehidupan saya. Saya lebih suka perjalanan hidup saya berlangsung tanpa ada apa-apa perancangan yang khusus. Kejutan demi kejutan yang berlaku dalam hidup membuatkan saya lebih bersyukur dan menikmati rezeki yang ALLAH berikan. Kejutan yang membuatkan saya menginsafi diri ini bahawa Yang Maha Agung itu sangat berkuasa. Titisan demi titisan air mata semakin laju membasahi bumi. Kerana apa saya menangis. Kerana apa manusia menangis. Saya menangis kerana mengenangkan dosa-dosa yang pernah saya lakukan. Betapa tidak bersyukurnya saya setelah diberi nikmat untuk hidup di muka bumi ini. Melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Saya hanya memaut mungkin dengan hanya satu jari sahaja pada paksi yang sepatutnya saya paut dengan keseluruhan diri saya. Seandainya saya langsung tidak berpaut pada paksi itu, dimanakah saya sekarang ini, siapakah saya sekarang ini. Nauzubillah. Syukur pada Mu Ya Tuhan kerana memberikan saya cahayaNya untuk saya terus berpaut pada paksi yang satu itu didalam keadaan yang terang. Rezeki yang ALLAH limpahkan pada saya sejak akhir-akhir ini amat menyedarkan saya bahawa rezeki itu bukan sekadar rezeki tetapi ianya juga adalah satu ujian untuk saya. Bagaimana untuk saya menguruskan rezeki yang diberi oleh Nya agar saya tidak berasa angkuh dan tamak. Sejak dari kecil saya dididik agar sentiasa mensyukuri nikmat yang ALLAH berikan dan saya mempunyai cara saya sendiri untuk mensyukuri nikmat itu apabila saya semakin meningkat dewasa. Rezeki itu datangnya dari ALLAH. Sememangnya rezeki itu milik Pemberi Rezeki dan bagi saya rezeki itu seharusnya dibelanjakan ke jalan yang diredhai. Dengan rezeki yang ada, saya lebih terdorong untuk terus berzikir dan memuji kebesaran ALLAH agar saya terus dilimpahi dengan rezeki yang baik. Maha Besar ALLAH yang mengurniakan segala-galanya kepada manusia.