My Blog...My Daily Life...

Tuesday, April 28, 2009

Rasa

Apa yang saya rasa tika dan saat ini? Macam-macam sebenarnya perasaan saya dan bermacam-macam juga yang ada di fikiran dan hati saya saat ini. Rasa yang saya tidak dapat nak huraikan dan ceritakan. Saya bingung. Saya kecewa. Saya memerlukan seseorang saat ini tapi saya tidak punya sesiapa. Tidak ada seorang pun didalam hidup saya ini yang betul-betul memahami saya. Hanya DIA yang Maha Mengetahui tentang segalanya. Hebat sungguh dugaan dan ujian dari-Nya. Saya tidak mahu dan tidak akan sekali-kali untuk pergi jauh dari-Nya kerana saya yakin pada yang Maha Mengetahui. Walau terkeluarnya air mata darah sekalipun, saya tetap akan berserah pada-Nya. Ya ALLAH, tabahkanlah hati ini untuk menempuhi segala ujian Mu. Saya mengatakan bahawa saya terima segala ketentuan-Nya tapi mengapa saya masih lagi berasa sedih. Manusia sememangnya tidak sempurna.

Thursday, April 23, 2009

Harga Hati

Adakah harga barang perhiasan dirumah lebih mahal berbanding dengan hati seorang ibu? Entahlah, walaupun jawapan sebenarnya saya amatlah tahu tapi saya masih tidak mengerti mengapa perkara seperti itu masih lagi terjadi dulu, kini dan selamanya. Terus terang saya katakan saya amat takut dengan azab ALLAH apabila kita derhaka dengan ibu. Sedetik hati ibu terguris maka neraka jahanamlah tempat kita. Ibu yang saya gelar sebagai mama adalah insan yang paling saya sayang. Saya amat takut seandainya saya pernah mengguris hati mama. Maafkan saya mama seandainya saya berdosa pada mama. Tapi kenapa manusia semakin alpa. Adakah kerana manusia kini sudah tidak punya hati lagi. Pengalaman mengajar kita menjadi dewasa. Mereka yang kata. Tapi pada pendapat saya pengalaman cuma sekadar pengalaman yang kita ingat dalam waktu yang singkat. Semakin lama masa berlalu, pengalaman hanya tinggal sejarah. Manusia tidak pernah belajar dari pengalaman. Kalau mereka menafikan apa yang saya katakan, buktikanlah. Semua ini terjadi kerana manusia sudah lupa tentang harga sebuah hati. Sewenang-wenangnya menyakiti dan mengguris hati ibu hanya kerana bunga kaca yang pecah. Bukannya ibu sengaja mahu memecahkannya tapi itulah sikap seorang anak yang sudah tidak punya hati lagi. Memarahi ibu kerana memecahkan bunga kaca yang mahal katanya tapi dia terlupa bahawa hati ibu itu lebih mahal harganya. Tidak menegur ibu berminggu-minggu kerana kesalahan yang kecil. Perkara sebegini bukanlah pertama kali berlaku malah berkali-kali dan tidak boleh lagi nak dibilang dengan jari dan jika dicampur dengan jari kaki sekalipun masih tidak cukup jika nak dibandingkan dengan dosa kepada ibu. Bukannya tidak tahu dengan balasan ALLAH. Tiap-tiap hari sembahyang tidak tinggal tapi dimanakah keberkatan solat itu seandainya derhaka pada ibu. Entahlah manusia....pengalaman tidak mengajar apa-apa....

Monday, April 13, 2009

Atas Nama Cinta

Manusia mengandaikan cinta itu hebat dan kadang-kala cinta itu bebanan. Cinta yang hebat kerana manusia sentiasa dicintai dan mencintai, tidak pernah dilukai dan melukai. Manusia mengatakan cinta itu dusta kerana dilukai dan melukai. Manusia merasa peritnya cinta itu kerana dikhianati. Manusia bercinta sehingga terlupa maruah diri. Manusia benar-benar terlupa. Cinta itu sebenarnya sangat istimewa. Kerana kasih sayang ALLAH pada hamba-Nya, lahirlah cinta didalam hati kita. Itulah cinta yang paling sempurna. Kenapa manusia tidak pernah menghargai apa yang mereka ada dalam hidup ini. Manusia mahukan sesuatu yang sempurna sedangkan diri mereka sendiri pun tidaklah sehebat mana. Kenapa manusia juga kadang-kadang tidak mahu sesuatu yang baik hadir dalam diri mereka. Bila mana yang baik itu hadir, manusia menolak mentah-mentah dengan alasan "terlalu baik untuk diri mereka". Saya masih lagi tertanya-tanya, kalau diri kita sendiri pun tidak cukup baik lagi, mengapa perlu kita tolak sesuatu yang baik itu hadir dalam diri kita. Bukankah yang baik itu merupakan satu bonus untuk hidup kita. Mengubah untuk menjadi lebih baik adalah tidak salah. Perlukah kita mencari sesuatu yang sama dengan kita atau yang lebih teruk dari kita. Sedangkan kita tahu perkara itu tidak akan mengubah hidup kita menjadi lebih baik. Manusia perlu belajar menghargai apa yang mereka ada. Tetapi kadang-kala manusia yang menghargai apa yang mereka ada dan mensyukuri nikmat Tuhan itu lebih banyak dugaan dan ujian. Satu per satu perlu dihadapi. Bukan sekadar menghadapi dugaan itu dengan memaki hamun dan menyumpah seranah sambil meratapi nasib tetapi berdoalah dan terus berdoa atas nama yang Maha Penyayang. Insyallah, semua yang baik itu datang dari-Nya. Atas nama cinta kita bersujud, atas nama cinta kita memohon dan atas nama cinta kita menyerahkan seluruh jiwa dan raga untuk kita bertawakkal kepada-Nya. DIA tidak akan pernah menghampakan manusia yang sentiasa memohon pertolongan dari-Nya. Adakah pernah DIA menyakiti kita. Tidak pernah walaupun sebesar zarah. Saya menyedari betapa besarnya nikmat yang ALLAH berikan kepada saya. Pengalaman sememangnya mengajar manusia untuk menjadi lebih rasional. TUHAN menguji ketabahan kita dan adakah kita sentiasa memohon pertolongan dari-Nya atau kita masih lagi berlaku sombong dengan yang Maha Agung itu. Saya menginsafi diri kerana saya pernah terlupa bahawa cinta, kasih sayang dan rindu itu sebenarnya adalah sifat Ar-Rahim. Saya sedar bahawa kita mencintai seseorang itu adalah satu anugerah dari ALLAH. Kerana sifat Ar-Rahim itulah, adanya cinta dihati manusia. Hidup manusia ini walau ditolak kemana sekalipun ianya tetap berada pada satu paksi yang sama dan kita tidak boleh dan tidak akan pernah lari dari paksi tersebut kerana DIA yang menciptakan kita dengan penuh kasih sayang. Walau sebesar mana sekalipun dosa yang kita lakukan, dia tetap Maha Pengampun. Tapi sayangnya, manusia lupa tentang DIA yang Maha Agung itu. Segala puji adalah milik DIA. Atas nama cinta, saya mensyukuri dan menghargai apa yang saya miliki terutama sekali hati dan perasaan.