My Blog...My Daily Life...

Friday, June 19, 2009

Kenikmatan Rezeki


Adakah rezeki itu sememangnya diciptakan untuk kita?Atau kita perlu berusaha untuk mendapatkan rezeki dan memohon kepada yang Pemberi Rezeri agar dilimpahi dengan segala nikmat rezeki di dunia ini?Sejak akhir-akhir ini banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya. Suka dan duka silih berganti. Mengajar saya erti sebuah kehidupan. Kehidupan yang sebenarnya penuh dengan kejutan. Andainya kita tidak bersedia, sudah pasti kita terkapai-kapai seperti lemas di lautan dalam. Ya, sememangnya hidup ini penuh dengan kejutan. Dalam meniti usia dewasa kini banyak kejutan yang berlaku dalam hidup saya yang tidak pernah saya jangkakan apatah lagi merancang untuk kehidupan saya. Saya lebih suka perjalanan hidup saya berlangsung tanpa ada apa-apa perancangan yang khusus. Kejutan demi kejutan yang berlaku dalam hidup membuatkan saya lebih bersyukur dan menikmati rezeki yang ALLAH berikan. Kejutan yang membuatkan saya menginsafi diri ini bahawa Yang Maha Agung itu sangat berkuasa. Titisan demi titisan air mata semakin laju membasahi bumi. Kerana apa saya menangis. Kerana apa manusia menangis. Saya menangis kerana mengenangkan dosa-dosa yang pernah saya lakukan. Betapa tidak bersyukurnya saya setelah diberi nikmat untuk hidup di muka bumi ini. Melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Saya hanya memaut mungkin dengan hanya satu jari sahaja pada paksi yang sepatutnya saya paut dengan keseluruhan diri saya. Seandainya saya langsung tidak berpaut pada paksi itu, dimanakah saya sekarang ini, siapakah saya sekarang ini. Nauzubillah. Syukur pada Mu Ya Tuhan kerana memberikan saya cahayaNya untuk saya terus berpaut pada paksi yang satu itu didalam keadaan yang terang. Rezeki yang ALLAH limpahkan pada saya sejak akhir-akhir ini amat menyedarkan saya bahawa rezeki itu bukan sekadar rezeki tetapi ianya juga adalah satu ujian untuk saya. Bagaimana untuk saya menguruskan rezeki yang diberi oleh Nya agar saya tidak berasa angkuh dan tamak. Sejak dari kecil saya dididik agar sentiasa mensyukuri nikmat yang ALLAH berikan dan saya mempunyai cara saya sendiri untuk mensyukuri nikmat itu apabila saya semakin meningkat dewasa. Rezeki itu datangnya dari ALLAH. Sememangnya rezeki itu milik Pemberi Rezeki dan bagi saya rezeki itu seharusnya dibelanjakan ke jalan yang diredhai. Dengan rezeki yang ada, saya lebih terdorong untuk terus berzikir dan memuji kebesaran ALLAH agar saya terus dilimpahi dengan rezeki yang baik. Maha Besar ALLAH yang mengurniakan segala-galanya kepada manusia.

1 comment: